Perlukah Pertunangan Disembunyikan? Suatu Pandangan Daripada Sisi Yang Berbeza

697
0
SHARE

“Ali dan Aminah baru sahaja bertunang. Selepas beberapa hari mereka bertunang, mereka menghebahkan pertunangan mereka ke media sosial. Salahkah perbuatan mereka? Apakah hukum menghebahkan pertunangan di sisi Islam?”

Situasi di atas merupakan salah satu contoh yang biasa dilalui oleh pasangan yang bertunang sebelum ke jinjang perkahwinan. Bolehkah pertunangan itu dihebahkan kepada orang lain? Ianya adalah satu persoalan yang biasa kita dengar. Sebelum saya ceritakan dengan lebih lanjut mengenai isu bahawa boleh atau tidak menghebahkan pertunangan, mari sama-sama kita lihat definisi dan makna pertunangan terlebih dahulu.

Definisi pertunangan

Pertunangan adalah janji bagi kedua-dua belah pihak iaitu bakal suami dan isteri dalam mengikat tali perhubungan sebelum ke arah perkahwinan. Selalunya ia melibatkan waktu-waktu yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua belah pihak. Tujuan bertunang adalah bagi memberi masa kepada kedua-dua calon untuk lebih mengenali hati budi dan keluarga masing-masing. Dalam istilah Arab ia dikenali sebagai proses taaruf (kenal-mengenal).

Tempoh pertunangan pula ialah bergantung kepada perbincangan antara kedua-dua belah pihak. Namun yang paling baik adalah jangan terlalu lama dan jangan terlalu cepat. Ambil masa yang secukupnya bagi mengenali bakal pasangan dengan sebaik mungkin supaya pemilihan yang dibuat nanti adalah terbaik dan tepat untuk diri kita.

Hukum menyembunyikan pertunangan

Menyembunyikan hubungan pertunangan merupakan satu pandangan yang biasa kita dengar dalam masyarakat kita. Sebahagian ulamak melihat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah suatu yang digalakkan. Ini kerana terdapat sebuah hadis daripada Ummu Salamah R.A. yang mana Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud:

“Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.”

(Riwayat Al-Imam Al-Dailami di dalam Musnad Al-Firdaus 1/1/27)

Disebabkan itu, sebahagian Al-Malikiyyah (ulamak mazhab Maliki) berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Ini sepertimana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar Al-Khalil yang mana Al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan :

“Adapun Al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti Al-Khitan (lamaran). Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan di antara orang yang bertunang dan ahli yang ditunangnya.”

Larangan sebahagian ulamak daripada mazhab Maliki ini adalah kerana bimbang kejahatan orang yang dengki. Perkara-perkara yang buruk mungkin boleh berlaku jika ia dihebahkan kepada umum. Di samping itu juga, kebaikan lain jika kita tidak menghebahkan pertunangan adalah ia menjaga aib kedua-dua belah pihak jika pertunangan tersebut tidak berakhir dengan ikatan pernikahan.

Tiada larangan (dalil dan nas) yang jelas

Namun begitu, sebahagian pendapat yang lain menyatakan bahawa tiada masalah iaitu dibolehkan untuk mengiklan serta menghebahkan perihal pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.A. yang disebutkan sebelum ini, dinilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis (ahli hadis).

Ini kerana terdapat perawi yang majhul (tidak dikenali) di dalam sanad hadis tersebut dan Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani Rahimahullah juga tidak memberikan apa-apa komentar di dalam Mukhtasarnya (ringkasannya) terhadap Musnad al-Firdaus tersebut.

Al-Syeikh ‘Atiyyah Al-Saqr Rahimahullah (wafat 1427H), mantan Ketua Lajnah Al-Ifta’ Al-Azhar di dalam satu soal jawab agama yang dikendalikan oleh beliau juga berpendapat bahawa tidak mengapa untuk menghebahkan pertunangan dan menurut beliau tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Menurut Syeikh lagi, jika sahih sekalipun, yang dimaksudkan melaluinya adalah larangan untuk berlebih-lebihan dalam menghebahkan pertunangan.

Haram meminang di atas pinangan orang lain

Dengan mengiklankan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya meminang di atas pinangan orang lain. Meminang di atas pinangan orang lain adalah haram. Larangan ini jelas di dalam  lam. Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.A, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis di atas secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain sekiranya pinangan itu telah diterima dan tidak mendapat keizinan dari orang yang meminang tersebut. Jika berlaku perkahwinan, maka sah perkahwinan tersebut namun perbuatan meminang atas pinangan orang lain itu adalah berdosa.

Jangan berlebihan menghebahkan pertunangan

Jika anda mengambil pendapat untuk menghebahkan pertunangan anda dengan pasangan anda, maka ia bukanlah sesuatu yang salah berdasarkan apa yang saya sebut di atas janganlah berlebih-lebihan seolah-olah berlangsungnya majlis perkahwinan. Pertunangan tidak semestinya berakhir dengan pernikahan. Ia hanyalah tempoh perkenalan anda dan pasangan sebelum pernikahan.

Oleh yang demikian, bersederhana dalam pertunangan itu adalah lebih dituntut. Jika sekiranya seseorang itu berniat untuk merahsiakan pertunangannya kerana bimbang berlakunya hasad dengki dan sebagainya, itu adalah lebih baik bagi dirinya.

Sumber:Baitulmuslim

Loading...
SHARE